Dengan nama Allah tuhan Ibrahim dan tuhan Muhammad.
Selawat salam buat nabi Ibrahim dan nabi Muhammad, role-model dulu, kini selamanya.
Menyahut seruan
Sesungguhnya Allah telah memerintahkan nabi dan kita semua selaku pembaca Quran untuk menceritakan kisah nabi Ibrahim kepada semua. Sekiranya ditadabbur dan dihayati, kisah nabi ululazmi ini sememangnya merupakan salah satu kisah terhebat dalam dunia dan mampu menyentuh jiwa yang keras serta mengerakkan iman yang mandul.
Statistik Al-Quran
Al-Quran menyebut nama 'Ibrahim' sebanyak 69x. Paling banyak disebut didalam surah al-baqarah ia3ni sebanyak15x. Jumlah ini merupakan bilangan kedua terbanyak selepas nabi 'Musa' yang disebut sebanyak 139x.
Ibadah haji dan korban merupakan sesuatu yang amat sinonim dengan Nabi Ibrahim a.s. Bagai santan dalam kari, kurang 'urm'nya sekiranya tertinggal. Begitu juga dengan kisah nabi Ibrahim. Dalam menghidupkan perasaan atau 'Zouk'nya dengan musim haji ni, jom ambil masa bersama kita singkap kisah hebat khalilullah, kesayangan Allah dan kesayangan kita jua...
Secara umumnya, kehidupan nabi Ibrahim terbahagi kepada dua fasa.
Fasa 1 Dakwahnya di negerinya yang asal iaitu negeri Iraq. Di sinilah dilakukan seruan dakwah seperti yang diceritakan oleh Al-Quran iaitu dakwah kepada ayah dan kaumnya. Ia diikuti dengan dakwah kepada pemerintah yang zalim. Namun, apabila seruan dakwahnya ditolak, Nabi Ibrahim mengambil tindakan menghancurkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Ia mengakibatkan dirinya dihukum bakar namun diselamatkan oleh Allah SWT.
Apabila telah jelas kaumnya tidak akan menerima dakwahnya, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim berhijrah ke negeri yang lain iaitu Palestin.
Fasa 2 Dakwahnya di bumi yang diberkati iaitu Palestin. Di dalam perjalanan hijrahnya ke Palestin, baginda ditemani oleh anak saudaranya iaitu Nabi Lut. Selepas itu, mereka hidup berdekatan antara satu sama lain di mana Nabi Ibrahim berada di Quds manakala Nabi Lut berada di sebelah timur.
Di dalam peringkat ini jugalah kita mendapati Nabi Ibrahim bermusafir bersama dengan isterinya Sarah ke Mesir dan dihadiahkan seorang jariah yang bernama Hajar sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW. Di peringkat ini jugalah berlakunya peristiwa baginda didatangi oleh malaikat bagi membawa berita gembira tentang kelahiran Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta bencana yang akan menimpa kaum Nabi Lut.
Di peringkat ini jugalah Nabi Ibrahim dikurniakan anak yang pertama iaitu Nabi Ismail yang lahir dari Hajar. Selepas itu, Allah memerintahkan supaya Nabi Ibrahim membawa kedua-duanya ke tanah Hijjaz lalu ditinggalkan di tanah yang kering kontang tanpa air dan tumbuhan.
Selepas beberapa tahun, Nabi Ibrahim dibenarkan untuk menziarahi kedua-duanya di Tanah Haram di mana ketika itu Nabi Ismail sudahpun meningkat remaja. Di ketika inilah Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih anaknya yang kemudiannya digantikan oleh Allah dengan sembelihan yang besar.
Selepas beberapa tahun pula, sekali lagi lagi Nabi Ibrahim ke Tanah Haram untuk mendirikan Kaabah sebagai tempat untuk menyembah Allah yang pertama di muka bumi. Selepas Kaabah selesai didirikan, Nabi Ibrahim menyeru manusia untuk datang menunaikan haji.
Apabila Nabi Ibrahim kembali semula ke Palestin, baginda tinggal di situ sehinggalah diwafatkan oleh Allah SWT.
Kisah di atas hanyalah ringkasan bagi kisah2 nabi Ibrahim dari Al-Quran. Baiklah, sekarang minta semua buka Quran tafsir masing2 dan baca terjemahan ayat2 berikut untuk bayangan dan imaginasi yang lebih jelas. Salin2!
1) surah As-saffat 37:83-113
2) surah Maryam 19:41-50
3) surah al-An'am 6:74-84
4) surah Hud 11:69-76
5) surah Ibrahim 14: 35-41
6) surah al-Anbiya 21:52-73
Bacalah..sesungguhnya tak rugi pun untuk mengenal ciri2 insan yang amat disayangi Allah ni, boleh kita ambil semangat dan ruh dariNya. Siapa tau dengan cara ini dapat menjadikan kita tergolong dikalangan insan2 yang dikasihi Allah juga.Apalah ertinya hidup tanpa cinta Allah.
"Dari Allah, Untuk Allah, Kepada Allah"
Post a Comment