Tarbiyah nafsu~

Khas Untuk skuad2 mujahidahku sekalian,

Entri ini ana petik dari blog murobbi Ust Abdullah Zaik, semoga bermanfaat untuk semua~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh !

Sudah lama saya nak tulis tajuk ni, tetapi ia amat sukar bagi saya untuk memulakannya. Itu juga yang saya hadapi hari ini iaitu sukar untuk mencari permulaan. Namun saya akan tulis juga kerana saya fikir penting untuk saya kongsikan terutama pada pagi Jumaat yang mulia ini.

Isu saya kali ini ialah berkenaan pengembaraan seseorang mencari sebuah ketenangan. Kita sering mendengar cerita ramai orang yang memiliki berbagai keupayaan kebendaan duit banyak, rumah besar, isteri cantik, berpengaruh dan berkuasa tetapi mereka mengalami kesengsaraan hidup, tekanan perasaan, kemurungan, kecelakaan dalam kehidupan keluarga atau tidak juga menikmati ketenangan hidup atau izinkan saya menggunakan kalimah kebahagian.

Kawan saya juga seorang yang berduit. Saya selalu bermusafir bersamanya. Dalam musafir itu dia sering bercerita tentang masalah-masalah, tekanan, keserabutan yang tidak berakhir. Dia menceritakan kepada saya bagaimana dia membelanjakan wang yang banyak untuk memuaskan keinginan nafsunya dalam mencari sebuah kedamaian atau ketenangan atau kebahagiaan.

Tetapi tidak juga menyelesaiakan masalah beliau. Barangkali betul juga kata orang kebahagian tidak boleh dibeli.


Saya percaya ramai di kalangan masyarakat kita mengalami masalah yang sama dan mencari penyelesaian dengan cuba memuaskan kehendak nafsu (saya tidak maksudkan melakukan perkara haram) membeli barangan mewah, kereta besar, makan sedap, peralatan rumah yang canggih dan sebagainya. Namun tidak juga dia dapat keluar dari tekanan hidup yang dia hadapi.

Saya memberi respons kepada kawan saya itu bahawa tidak ada dalam turath (peninggalan ilmu silam) menyarankan kepada kita cara mengendalikan nafsu dengan cara memuaskan kehendaknya. Kerana kehendak nafsu tidak akan habis.

“Kalau anak Adam diberi satu bukit daripada emas ia bercita-cita untuk mendapatkan satu lagi, sehingga tidak penuh perut anak Adam kecuali tanah”.


Cara menguruskan nafsu ialah dengan cara mendidiknya dengan perkara yang menyalahinya. Amat jelas bagi saya, kita tidak boleh mencapai kebahagiaan atau ketenangan dengan cara memuaskan kehendak nafsu semata-mata, tetapi sebaliknya dengan mendidiknya (mujahadah).

Saya tidak mahu menterjemah kalimah mujahadah dengan makna melawan nafsu kerana nafsu adalah sebahagian dari kita, kita tidak boleh memisahkkannya daripada kita. Jadi yang terbaik ialah mendidiknya dan memandunya dengan panduan rohani.

Saudara/i !

Keserabutan dan tekanan yang kita hadapi dalam kehidupan kita datangnya dari gelojakan jiwa (nafsu) yang tidak boleh menerima hakikat apa yang berlaku disekelingnya, dalam kerjaya, dalam pergaulan, dalam hubungan sosial dan sebagainya. Lalu lahinya perasaan tidak puas hati, marah, kecewa, geram, keliru dan sebagainya. Itu semua adalah tindak balas nafsu atau disebut juga sebagai psikologi.

Nafsu ditakrifkan oleh sebahgaian ulama’ sebagai jisim bersifat asap. Ia merupakan kekuatan penggerak /pendorong pada diri manusia seperti ingin berusaha, mempertahankan diri dan sebagainya. Gerak geri nafsu boleh kita rasai dengan berbagai simptom yang saya sebutkan. Sesetengah kita membataskan nafsu dalam skop keinginan tertentu seperti makan, minum, seks dan sebagainya sahaja.

Sebenarnya nafsu lebih luas dari itu. Ia meliputi segala segala bentuk perasaan yang dihadapi oleh manusia, suka, duka, marah, malas dan sebagainya.

Saya bukan orang psikologis, tetapi seorang murrabbi yang mempunyai sedikit pengalaman dalam selok-belok tindak-tanduk nafsu manusia.

Dari pengalaman, seorang murabbi yang mahir faham bahawa dalam urusan tarbiah ia sebenarnya berhadapan dengan tindak-tanduk nafsu anak buahnya. Ia harus memiliki kemahiran bagaimana selok belok mengendalikan tindak tanduk yang lahir dari berbagai tindakbalas nafsu. Jika ia tidak faham atau tidak punya pengalaman mustahil murabbi itu akan berjaya dalam tugasnya mentarbiah anak buahnya.

Nafsu adalah unsur terpenting dalam proses tarbiah Islamiah. Ia adalah paksi kejayaan orientasi tarbiyah manusia keseluruhannya. Silap cara mentarbiah nafsu manusia akan jadi lebih menarik dari sebelumnya, kerana nafsu yang diberi ilmu tetapi tidak ditarbiah lebih tahu menipu daripada nafsu yang jahil.


Saya dapati ada orang melaksanakann tarbiyah yang berbentuk pengisian maklumat tetapi sangat memanjakan nafsu. Maka lahirlah manusia yang kalimah takwa meniti pada lisannya sahaja tetapi tidak berpijak pada hatinya. Maksudnya lisan berbahasa taqwa tetapi tidak-tanduknya sepenuhnya dicorakkan oleh nafsu yang bebas merdeka tanpa tambatan.


Ada juga yang bermetode ruhi atau sentuhan jiwa tetapi sentuhan itu lebih dalam bentuk memujuk dan memanja-manjakan jiwa. Jadi lahir manusia yang tidak “real” dan cuba menunjuk-nunjuk dengan penampilan takwa, menangis, sensitif dan cepat terasa dalam dengan kata-kata ruhi walhal dalam muamalat masya Allah liarnya seakan-akan nafsunya tidak pernah terusik atau pun terdidik.

Saudara/i sekelian

Tarbiah akhirnya ialah cara bagaimana kita berintraksi dengan nafsu. Nafsu perlu dididik, disergah dan dita’dib. Sesaorang yang melalui tarbiah harus melalui detik-detik pedih dalam tarbiah nafsu. Bagi saya seorang yang melalui tarbiah tetapi tidak pernah melalui detik-detik seperti itu, sebenarnya ia belum lagi melalui proses tarbiah yang sebenarnya.

Nafsu sifatnya menipu, munafik, malas, putar belit dan sebagainya. Ia mesti diketuk dan disanggahi dengan tegas. Ia mungkin pedih dan menangis bila disanggah atau dikasari dengan taujih rabbani atau teguran murabbi yang sadiq. Itulah orientasi tarbiah yang membentuk dengan bentukan Islamiyyah yang sebenar sehingga nafsu menjadi lurus dan patuh dengan arahan dan reda dengan ketentuan Allah s.w.t.

“Tidak beriman sesaorang kamu sehingga hawanya mengikut apa yang aku bawa” maksud hadis.

Saudara/i

Murabbi yang benar akan membawa anak buahnya kepada Allah, menikmati ketenangan abadi yang tidak ada tolak bandingnya. Ia merupakan satu pendakian menuju rida dan itmi’nan (rela dan ketenangan hati). Dari satu nafsu yang ammarah dan munafik kepada nafsu yang rela dan tenang.

Ya akhi, saya ulangi ketenangan bukan dengan memuaskan nafsu tetapi dengan mendidiknya sehingga ia faham bahawa kebahagiaan ia pada pergantungan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Tinggalkan (buang dari dalam hati) pergantungan kepada manusia, harta benda, wang ringgit, segala makhluk dan lain-lain, yang benar hanyalah Allah s.w.t sahaja.


Semoga bermanfaat buat semua murobbi dan mutarobbi sekalian.

Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

4 Responses to Tarbiyah nafsu~

Anonymous said...

jazakillah izz

'Ezzah Al-Islam said...

to you more my dear sis~

Anonymous said...

jom pandu nafsu..

-timeless-

Anonymous said...

mari lawan nafsu
menangkan hati yang suci
sama2 jual diri pada Dia Yang Pengasih
i'allah ketenangan itu pasti..
sayang selalu~

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.